Bab 9

1 Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar temapt Dia tinggal. 2 Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di tempat tidurnya. Ketika Yesus melihat iman mereka, berkatalah Dia kepada orang lumpuh itu: "Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampuni." 3 Kemudian, beberapa ahli Taurat berkata dalam hatinya, "Orang ini menghujat Allah!" 4 Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka, lalu Dia berkata: "Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu? 5 Manakah yang lebih mudah dikatakan, 'Dosamu telah diampunkan,' atau 'Bangun dan berjalan?' 6 Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa." Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, "Bangun, angkatlah tempat tidurmu dan pulanglah ke rumahmu!" 7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya. 8 Orang ramai yang melihat kejadian itu takut lalu memuliakan Allah yang telah memberikan kuasa seperti itu kepada manusia. Yesus meninggalkan tempat itu. 9 Ketika Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata, "Ikutlah Aku." Lalu Matius berdiri dan mengikut Yesus. 10 Ketika Yesus sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Yesus dan murid-murid-Nya. 11 Orang Farisi yang melihat hal itu, berkatalah mereka kepada murid-murid Yesus: "Mengapa gurumu makan bersama-sama dengan pemungut cukai dan orang berdosa?" 12 Akan tetapi, ketika Yesus mendengar hal itu, Dia berkata, "Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang yang sihat. 13 Jadi pergilah dan pelajarilah erti firman ini: 'Aku menghendaki belas kasihan, bukannya persembahan,' Itulah sebab Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa." 14 Selepas itu, datanglah murid-murid Yohanes kepada Yesus dan berkata: "Mengapa kami dan orang Farisi berpuasa, tetapi murid-murid-Mu tidak?" 15 Yesus menjawab, "Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. 16 Tidak ada seorang pun yang menampal kain yang baru pada pakaian yang lama, kerana tampalan itu akan mengoyakkan baju itu dan semakin besar pula akan terkoyak. 17 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, kirbat itu akan pecah, air anggur itu akan terbuang dan kirbat itu pun rosak. Air anggur yang baru mesti dituangkan ke dalam kirbat kulit yang baru, dan kedua-duanya selamat." 18 Sedang Yesus berkata-kata hal-hal ini kepada mereka, datanglah seorang ketua rumah ibadat, lalu menyembah Dia dan berkata: "Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali." 19 Yesus pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh murid-murid-Nya. 20 Pada waktu itu, seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. 21 Kerana katanya dalam hatinya: "Asal kusentuh sahaja jubah-Nya, pasti aku akan sembuh." 22 Yesus menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, "Teguhkanlah hatimu, hai anak-Ku! Imanmu telah menyembuhkanmu." Pada saat itu juga wanita itu sembuh. 23 Apabila Yesus sampai di rumah ketua rumah ibadat itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut. 24 Dia berkata, "Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, dia cuma tidur." Tetapi mereka mentertawakan Yesus. 25 Tetapi setelah mereka keluar, Yesus masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun. 26 Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu. 27 Ketika Yesus meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, "Wahai Anak Daud, kasihanilah kami!" 28 Setelah Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Yesus bertanya, "Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?" "Ya Tuhan, kami percaya!" jawab mereka. 29 Kemudian, Yesus menyentuh mata mereka sambil berkata, "Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!" 30 Dan, terbukalah mata mereka. Yesus dengan tegas memperingatkan mereka, kata-Nya: "Jangan ceritakan hal ini kepada sesiapa pun." 31 Akan tetapi, mereka keluar dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu. 32 Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. 33 Setelah roh iblis itu diusir, orang bisu itu pun mula berkata-kata. Orang ramai itu tercengang melihatnya lalu berkata, "Belum pernah kami lihat hal seperti ini di Israel!" 34 Tetapi orang Farisi berkata, "Ketua roh iblis telah memberi Dia kuasa untuk menghalau roh-roh iblis." 35 Demikianlah Yesus pergi mengelilingi semua kota dan desa; Dia mengajar di rumah ibadat dan menyampaikan Injil Kerajaan Syurga, serta menyembuhkan semua penyakit dan kesakitan. 36 Apabila Yesus melihat orang yang ramai itu, tergeraklah hati Yesus oleh belas kasihan terhadap mereka, kerana mereka lelah dan terlantar seperti domba tanpa gembala. 37 Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, "Tuaian memang banyak tetapi pekerja hanya sedikit. 38 Kerana itu mintalah kepada tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja-pekerja untuk menuai."