Bab 10

1 Yesus memanggil dua belas murid-Nya dan memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan. 2 Inilah nama dua belas rasul itu: Pertama Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; 3 Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai, Yakobus anak Alfeus, dan Tadeus, 4 Simon orang Zelot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Dia. 5 Yesus mengutus dua belas orang murid itu dan berpesan kepada mereka, "Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. 6 Pergilah kepada domba-domba yang hilang antara keturunan kaum Israel. 7 Pergilah dan beritakanlah bahawa Kerajaan Syurga sudah dekat. 8 Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan usirlah roh-roh iblis. Kamu telah menerimanya dengan percuma, kerana itu berikanlah juga dengan percuma. 9 Janganlah kamu bawa wang emas, perak atau tembaga dalam tali pinggangmu. 10 Janganlah kamu bawa beg, atau dua helai baju, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu, kerana seorang pekerja layak menerima makanannya. 11 Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seseorang yang rela menyambutmu. Tinggallah di sana sampai kamu keluar dari tempat itu. 12 Ketika kamu masuk ke dalam rumah itu, berilah salam kepada meraka. 13 Jika penghuni rumah itu layak, biarlah damai sejahteramu turun atasnya, tetapi jika tidak, biarlah damai sejahteramu kembali kepadamu. 14 Apabila seseorang tidak menerima kamu dan tidak mendengar perkataanmu, keluarlah dan tinggalkanlah rumah atau bandar itu dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu. 15 Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu." 16 "Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. 17 Tetapi berhati-hatilah, kerana ada yang akan menyerahkan kamu kepada majlis agama dan akan disebat di rumah ibadat mereka. 18 Dan kerana Aku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. 19 Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana harus kamu mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. 20 Bukan kamu yang berkata-kata, tetapi Roh Bapamu yang berkata-kata melalui kamu. 21 Saudara akan menyerahkan saudranya untuk dibunuh, demikian juga seorang ayah terhadap anaknya. Dan anak-anak akan memberontak terhadap orang tuanya dan membunuh mereka. 22 Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku, tetapi sesiapa yang bertahan sampai akhir akan diselamatkan. 23 Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Kerana Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, sebelum kamu selesai mengunjungi semua bandar di Tanah Israel, Anak Manusia sudah datang. 24 Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya. 25 Cukuplah jika murid menjadi seperti gurunya, dan hamba menjadi seperti tuannya. Jika tuan rumah dipanggil Beelzebul, apalagi seisi rumahnya. 26 Kerana itu, janganlah kamu takut terhadap mereka, sebab tidak ada sesuatu pun yang tertutup yang tidak dapat dibuka dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak dapat diketahui. 27 Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumknlah dari atas bumbung. 28 Jangan takut, kepada mereka yang membunuh tubuh tetapi tidak dapat membunuh jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan tubuh dan jiwa di dalam nereka. 29 Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. 30 Bahkan, setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. 31 Oleh itu, janganlah takut; kamu lebih bernilai daripada banyak burung pipit!" 32 "Setiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia, Aku juga akan mengakuinya di hadapan Bapa-Ku yang ada di syurga. 33 Akan tetapi, sesiapa yang menyangkal Aku di hadapan manusia, Aku juga akan menyangkalnya di hadapan Bapa-Ku yang ada di syurga." 34 "Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia, melainkan pedang. 35 Dengan kedatangan-Ku, 'anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya. 36 Ahli keluarganya sendiri akan menjadi msuhnya.' 37 Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya lebih daripada-Ku, dia tidak layak bagi-Ku; dan sesiapa yang lebih mengasihi anaknya lelaki atau perempuan daripada-Ku, dia tidak layak bagi-Ku. 38 Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut Aku, dia tidak layak bagi-Ku. 39 Sesiapa yang mempertahankan nyawanya, dia akan kehilangan nyawanya, dan sesiapa yang kehilangan nyawanya demi Aku, dia akan mendapatkannya." 40 Sesiapa yang menerima kamu, dia menerima-Ku, dan sesiapa yang menerima-Ku, ia menerima Dia yang mengutus Aku. 41 Sesiapa yang menerima seorang nabi kerana dia seorang nabi, akan menerima upah sebagai nabi. Sesiapa yang menerima orang yang benar, akan menerima upah orang benar. 42 Dan, sesiapa yang memberikan air minum walaupun hanya segelas air sejuk kepada seorang murid-Ku yang paling rendah pun kerana dia murid-Ku, Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya dia tidak akan kehilangan upahnya."