Bab 8

1 Ketika Yesus turun dari bukit itu, ramai orang mengikuti-Nya. 2 Datanglah seorang yang menghidap penyakit kusta kepada-Nya, lalu sujud menyembah Dia dan berkata: "Tuan, kalau Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkan aku." 3 Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, "Aku mahu. Tahirlah!" pada saat itu juga penyakit kustanya hilang. 4 Lalu Yesus berkata kepadanya, "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkanlah persembahan seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka." 5 Ketika Yesus masuk ke Kapernaum, datanglah seorang tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: 6 "Tuan, hambaku sedang terbaring di rumah kerana sakit lumpuh dan dia sangat menderita." 7 Yesus berkata kepadanya: "Aku akan datang menyembuhkan dia." 8 Tetapi ketua tentera itu berkata, "Tuan, aku tidak layak menerima Tuan di dalam rumahku, perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. 9 Sebab aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, 'Pergi!' dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, 'Mari!' dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, 'Buat ini'! dia akan melakukannya. 10 Ketika Yesus mendengar hal itu, Dia kagum dan berkata kepada orang ramai yang mengikuti-Nya, "Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikan teguh imannya, walaupun di Israel. 11 Aku berkata kepadamu: Banyak orang akan datang dari Timur dan Barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub di dalam Kerajaan Syurga. 12 Tetapi, anak-anak kerajaan itu akan dibuang ke dalam kegelapan yang paling gelap; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi." 13 Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, "Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi." Maka saat itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu. 14 Ketika Yesus tiba di rumah Petrus, Dia melihat ibu mertua Petrus sedang terbaring kerana sakit demam. 15 Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Kemudian, dia bangun dan melayan Yesus. 16 Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. 17 Yesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: "Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita." 18 Ketika Yesus melihat orang ramai di sekeliling-Nya, Dia pun menyuruh supaya bertolak ke seberang. 19 Lalu datanglah seorang ahli Taurat dan berkata kepada-Nya: "Guru, aku akan mengikut Engkau, ke mana saja Engkau pergi." 20 Yesus berkata kepadanya, "Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya, tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya. 21 Seorang murid lain berkata, "Tuhan, izinkan aku pulang dahulu untuk menguburkan bapaku." 22 Tetapi Yesus menjawab, "Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka." 23 Lalu Yesus naik ke dalam perahu, dan diikuti oleh murid-murid-Nya. 24 Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Yesus sedang tidur. 25 Para murid Yesus datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, "Tuhan selamatkan nyawa kami semua daripada maut!" 26 Dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu takut, hai kamu yang kurang beriman?" Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya menjadi tenang sekali. 27 Para murid Yesus tercengang lalu berkata, "Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah orangnya ini?" 28 Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Yesus didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani melalui jalan itu. 29 Apabila mereka melihat Yesus, mereka pun berteriak, katanya: "Apa urusan-Mu dengan kami, ya Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?" 30 Tidak jauh dari mereka, ada sejumlah besar babi sedang mencari makan. 31 Roh-roh iblis merayu kepada Yesus, "Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh sekawan babi itu." 32 Dan Yesus memerintah roh-roh itu, "Pergilah!" Maka roh-roh itu pun keluar lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas. 33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. 34 Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Yesus dan mereka mendesak supaya Dia meninggalkan daerah mereka.