Bab 4

1 Apakah yang menyebabkan pertengkaran dan pergaduhan di antara kamu? Bukankah ia datang dari keinginan jahat yang berperang dalam diri kamu? 2 Kamu inginkan apa yang kamu tidak miliki. Jadi untuk mendapatkannya, kamu merancang untuk membunuh. Kamu cemburu dengan apa yang orang lain miliki, kamu tidak boleh mendapatkannya, jadi kamu bertengkar untuk mengambilnya daripada mereka. Akan tetapi, kamu tidak mendapatkan apa yang kamu mahu kerana kamu tidak meminta kepada Tuhan. 3 Atau kamu ada meminta tetapi tidak mendapatkannya. Ini kerana motif kamu salah. Kamu hanya meminta apa yang akan memberi kamu keseronokan. 4 Kamu tidak setia kepada Allah! Tidakkah kamu sedar bahawa persahabatan dengan dunia ini menjadikan kamu musuh Allah? Aku katakan sekali lagi, jika kamu ingin bersahabat dengan dunia ini, kamu adalah musuh Allah. 5 Adakah kamu berfikir bahawa Kitab Suci tidak mempunyai makna? Roh yang telah Allah letakkan dalam kita harus setia kepada-Nya. 6 Namun, Allah memberikan rahmat dengan murah hati. Seperti yang tertulis dalam Kitab Suci, "Allah menentang orang yang sombong, tetapi merahmati orang yang rendah hati." 7 Maka rendahkanlah dirimu di hadapan Allah. Lawanlah iblis, maka ia akan lari daripada kamu. 8 Marilah dekat kepada Allah, maka Allah akan mendekat kepadamu. Basuhlah tanganmu, hai orang berdosa. Sucikanlah hatimu, kerana kamu menduakan Allah. 9 Menangislah dengan penuh penyesalan atas apa yang telah kamu lakukan. Biarlah ada kesedihan dan kesedihan yang mendalam. Berhenti ketawa, sebaliknya menangislah. Biarlah ada kesuraman daripada suakcita. 10 Rendahkanlah dirimu di hadapan Tuhan, dan Dia akan meninggikan kamu dalam kehormatan. 11 Saudara dan saudari yang dikasihi, janganlah bercakap jahat terhadap satu sama lain. Jika kamu mengkritik dan menghakimi antara satu sama lain, maka kamu mengkritik dan menghakimi hukum Allah. Jika kamu menghakimi hukum, maka kamu tidak lagi patuh dan taat dengan hukum, tetapi kamu menghakimi hukum itu. 12 Hanya Allah yang berhak memberikan hukum dan Dia adalah Hakim. Hanya Dia sahaja yang berkuasa menyelamatkan atau memusnahkan. Jadi apakah hak kamu untuk menghakimi sesamamu? 13 Dengarkanlah wahai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan pergi ke suatu kota dan akan tinggal di sana setahun. Kami akan berniaga di sana dan beroleh keuntungan.” 14 Bagaimanakah kamu tahu keadaan kehidupan kamu esok? Kehidupan kamu seperti kabus pagi. Ia ada di sini sebentar, kemudian ia hilang. 15 16 17 Apa yang kamu patut katakan ialah, “Jika Tuhan menghendakinya, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu." Jika tidak, kamu sedang bermegah-megah dengan rancanganmu sendiri dan semua kemegahan itu adalah jahat. Ingatlah, jika kamu tahu apa yang patut kamu lakukan dan kemudian tidak melakukannya, ia adalah dosa.