Bab 5

1 Hai orang-orang kaya, menangislah dan merataplah kerana kamu akan mengalami kesengsaraan pada masa yang akan datang. 2 Kekayaanmu akan lenyap dan pakaianmu yang indah akan dimakan gegat. 3 Emas dan perak kamu akan berkarat dan kekayaan yang kamu harapkan akan memakan dagingmu seperti api. Harta karun yang telah kamu simpan ini akan menjadi saksi terhadap kamu pada hari penghakiman nanti. 4 Dengarlah teriakan pekerja ladang di mana kamu telah menipu tentang gaji mereka. Jeritan mereka yang menuai ladangmu telah sampai ke telinga Tuhan semesta alam. 5 Kamu telah menghabiskan tahun-tahunmu di bumi dengan kemewahan dan memuaskan segala keinginanmu. Kamu telah menggemukkan diri kamu untuk hari penyembelihan. 6 Kamu telah menganiaya dan membunuh orang yang tidak bersalah walapupun mereka tidak menentang kamu. 7 Saudara dan saudari yang dikasihi, bersabarlah sambil menantikan kedatangan Tuhan. Cuba lihat pada para petani bagaimana dia sangat bersabar. Dia menunggu tanah untuk memberinya hasil yang berharga untuk dimakan. Dengan penuh kesabaran dia menunggu hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8 Kamu juga harus bersabar. Kuatkanlah hatimu, sebab kedatangan Tuhan sudah dekat. 9 Saudara-saudariku, janganlah kamu bersungut-sungut tentang satu sama lain atau kamu akan dihakimi. Lihatlah! Hakim sedang berdiri di depan pintu! 10 Saudara-saudari yang dikasihi, sebagai contoh kesabaran di dalam penderitaan, lihatlah pada para nabi yang berbicara dalam nama Tuhan. 11 Kami memberi penghormatan besar kepada mereka yang bertahan dalam penderitaan. Sebagai contoh, kamu sudah tahu tentang Ayub, seorang yang sangat tabah. Kamu dapat melihat bagaimana Tuhan baik hati kepadanya pada akhirnya, kerana Tuhan penuh kelembutan dan belas kasihan. 12 Tetapi yang paling penting, saudara-saudariku, jangan sekali-kali bersumpah demi langit atau bumi atau apa pun. Katakan sahaja ya atau tidak supaya kamu tidak berdosa dan dihukum. 13 Adakah di antara kamu mengalami kesusahan? Kamu patut berdoa. Adakah di antara kamu gembira? Kamu patut menyanyikan pujian. 14 Adakah di antara kamu yang sakit? Hendaklah kamu memanggil tua-tua jemaat untuk datang mendoakan kamu, sambil mengurapi kamu dengan minyak dalam nama Tuhan. 15 Doa yang diucapkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit dan Tuhan akan menyembuhkan kamu. Dan jika kamu telah melakukan dosa, kamu akan diampuni. 16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengaku dosamu dan saling mendoakan supaya kamu disembuhkan. Doa yang sungguh-sungguh dari orang yang benar mempunyai kuasa yang besar dan membuahkan hasil yang menakjubkan. 17 Elia adalah manusia seperti kita, namun apabila dia berdoa dengan sungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, hujan tidak turun selama tiga tahun enam bulan. 18 Kemudian, apabila dia berdoa lagi, langit menurunkan hujan dan bumi mula mengeluarkan hasil. 19 Saudara-saudari yang kukasihi, jika ada di antara kamu yang menyimpang dari kebenaran dan dia dipimpin kembali kepada kebenaran, 20 kamu boleh yakin bahawa sesiapa yang membawa orang berdosa kembali kepada jalan kebenaran akan menyelamatkan jiwa orang itu daripada maut dan dosanya diampuni.