Bab 3

1 Saudara-saudara yang dikasihi, jangan ramai di antara kamu menjadi pengajar kerana mereka yang mengajar akan dihakimi dengan lebih berat. 2 Kita semua sering melakukan banyak kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dalam perkataannya, dia adalah manusia sempurna yang juga boleh mengendalikan dirinya. 3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya ia patuh kepada kita dan dengan kekang juga kita dapat mengendalikan kuda itu. 4 Begitu juga dengan kapal-kapal. Meskipun besar, dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, kapal itu dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil dan kapal itu akan bergerak ke arah laluan yang dikehendaki oleh jurumudi. 5 Demikian juga dengan lidah. Ia adalah anggota yang kecil dari tubuh kita tetapi ia bercakap seolah-olah ia sangat hebat. Bayangkan hanya dengan api yang kecil sahaja boleh membakar hutan yang luas. 6 Dan di antara semua anggota badan, lidah adalah seperti nyala api. Ia adalah seperti dunia kejahatan. Ia merosakkan seluruh tubuh kita dan menghanguskan semuanya dengan api yang berasal dari neraka. 7 Orang boleh menjinakkan semua jenis haiwan, burung, reptilia, dan ikan. 8 Tetapi tiada siapa yang dapat menjinakkan lidah. Ia bagaikan makhluk yang tidak tenang, jahat dan penuh dengan racun yang mematikan. 9 Kadang-kadang dengan lidah kita memuji Tuhan dan Bapa kita. Kadang-kadang ia mengutuk mereka yang telah dijadikan menurut gambaran Tuhan. 10 Dari mulut yang sama keluar berkat dan kutuk. Saudara-saudariku, sesungguhnya perbuatan ini tidak seharusnya terjadi! 11 Adakah mata air yang mengeluarkan air manis dan air pahit dari sumber yang sama? 12 Adakah pokok ara menghasilkan buah zaitun, atau pokok anggur menghasilkan buah ara? Tidak! Begitu juga dengan mata air masin tidak dapat menghasilkan air tawar. 13 Seandainya kamu berhikmat dan memahami jalan Tuhan, buktikan dengan menjalani kehidupan yang mulia. Hiduplah sesuai dengan perilaku yang baik dengan melakukan perbuatan yang baik, menjadi rendah hati dan bijak. 14 Tetapi jika kamu cemburu dan dalam hatimu mementingkan diri sendiri, janganlah menutupi kebenaran dengan bermegah dan berdusta. 15 Cemburu dan mementingkan diri bukanlah berasal dari Tuhan. Perkara-perkara seperti itu adalah duniawi, tidak rohani, dan jahat. 16 Kerana, di mana sahaja terdapat cemburu dan mementingkan diri sendiri, di sana kamu akan mendapati kekacauan dan segala macam kejahatan. 17 Tetapi hikmat dari atas adalah pertama-tama murni. Ia juga cintakan kedamaian, lemah-lembut pada setiap masa, dan terbuka. Ia penuh dengan belas kasihan dan buah dari perbuatan baik. 18 Kebenaran adalah hasil dari benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang mencintai kedamaian.