Bab 3

1 Pada waktu itu, muncullah Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun Yudea. 2 Dia berseru, "Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga semakin dekat!" 3 Yohaneslah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya: "Suara seorang berseru di gurun: 'Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.'" 4 Yohanes memakai pakaian dari bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. 5 Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan seluruh kawasan sekitar Sungai Yordan datang kepadanya. 6 Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan. 7 Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk dibaptiskan. Apabila melihat mereka, Yohanes berkata, "Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada murka Allah yang akan datang? 8 Buktikan dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. 9 Jangan sangka kamu dapat berkata dalam hatimu: 'Abraham adalah bapa kami!' Kerana aku berkata kepadamu: Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham! 10 Kapak sudah tersedia pada akar pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api. 11 Aku membaptis kamu dengan air sebagai tanda pertaubatan, tetapi Dia yang datang selepasku akan membaptis kamu dengan Roh Kudus dan api; Dia lebih berkuasa daripada aku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak. 12 Alat penampi sudah di tangan-Nya. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan. 13 Ketika itu, Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk dibaptiskan oleh Yohanes. 14 Tetapi Yohanes menolak dan berkata, "Sepatutnya Engkau yang membaptisku. Ini Engkau pula datang kepadaku!" 15 Lalu Yesus menjawab dan berkata kepadanya, "Biarlah hal itu terjadi, kerana demikianlah sepatutnya kita menggenapkan seluruh kehendak Allah." Dan Yohanes pun menuruti-Nya. 16 Setelah dibaptiskan, Yesus segera keluar dari air. Pada waktu itu juga langit terbuka dan Dia melihat Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya, 17 lalu terdengarlah suara dari syurga yang mengatakan: "Inilah Anak-Ku yang Kukasihi, kepada-Nyalah Aku berkenan."