Bab 2

1 Yesus lahir di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Datanglah beberapa orang pakar kaji bintang dari Timur ke Yerusalem. 2 Mereka bertanya, "Di manakah Dia, Raja orang Yahudi yang baru lahir itu?" Kami melihat bintang dari Timur dan mahu datang untuk menyembah Dia. 3 Ketika Raja Herodes mendengar hal itu, dia berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. 4 Raja Herodes memanggil semua imam dan ahli Taurat bangsa Yahudi dan dia bertanya, "Di manakah Kristus dilahirkan?" 5 Mereka berkata kepadanya, "Di Bethlehem di Tanah Yudea, kerana inilah yang tertulis dalam kitab para Nabi: 6 Dan engkau Betlehem, tanah Yehuda, bukanlah yang paling kecil di antara mereka yang memerintah Yehuda, kerana daripadamu akan muncul seorang pemimpin, yang akan memimpin umat-Ku Israel."' 7 Setelah itu, Raja Herodes memanggil pakar-pakar kaji bintang itu secara rahsia dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. 8 Lalu, dia menyuruh mereka ke Bethlehem dan berkata, "Pergi dan selidikilah dengan teliti tentang Anak itu. Dan, apabila kamu sudah menemukan-Nya, laporkanlah kepadaku supaya saya juga boleh datang dan menyembah-Nya." 9 Setelah mendengarkan kata-kata raja itu, mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur itu dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10 Mereka bersukacita dengan sukacita yang sangat besar apabila melihat bintang itu. 11 Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu bersama dengan ibu-Nya Maria. Mereka pun sujud dan menyembah Anak itu, lalu membuka tempat penyimpanan harta benda dan mempersembahkan kepada-Nya emas, dupa dan mir kepada-Nya. 12 Allah memperingatkan mereka dalam mimpi agar tidak kembali kepada Raja Herodes, oleh sebab itu mereka kembali ke negeri mereka melalui jalan lain. 13 Setelah mereka pergi, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, "Bangunlah, bawalah Anak itu serta ibu-Nya, dan larilah ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman kepadamu, kerana Herodes akan mencari dan membunuh Anak itu. Yusuf pun bangun. 14 Pada malam itu juga dia membawa Anak dan ibu-Nya ke Mesir. 15 Mereka tinggal di situ sehingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan melalui nabi: "Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku." 16 Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh pakar-pakar kaji bintang dari Timur, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki di Betlehem dan kawasan yang berdekatan yang berumur dua tahun ke bawah. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pakar-pakar kaji bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. 17 Oleh yang demikian, terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: 18 "Satu suara terdengar di Rama, tangisan dan ratap yang amat sedih; Rahel meratapi anak-anaknya dan tidak mahu dihibur kerana mereka sudah tiada." 19 Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. 20 Kata malaikat itu, "Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel, kerana orang yang hendak membunuh Anak itu sudah mati. 21 Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel. 22 Tetapi apabila mendengar bahawa Arkhelaus menjadi raja di Yudea menggantikan bapanya Herodes, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. 23 Dia tinggal di kota yang bernama Nazaret. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh para nabi: "Dia akan dipanggil Orang Nazaret."