Bab 1

1 Surat ini dari Yakobus, seorang hamba Allah dan Tuhan Yesus Kristus. Saya menulis kepada dua belas suku yang berada di perantauan. Salam sejahtera! 2 Saudara dan saudari yang dikasihi, tetaplah tabah dan bersukacita dalam menghadapi pelbagai masalah. Ketika imanmu diuji, Allah sedang melihat seberapa banyak kamu mempercayai Dia. 3 Hasilnya nanti, kamu akan mampu untuk menanggung masalah yang lebih mencabar. 4 Bertabahlah terus, jangan berputus asa. Sebab apabila kamu terus percaya kepada Kristus dan taat kepada-Nya dalam segala keadaan, kamu tidak kekurangan sesuatupun. 5 Jika kamu memerlukan hikmat, mintalah kepada Allah. Maka Dia yang murah hati akan memberikannya kepada kamu tanpa mencela. 6 Tetapi apabila kamu meminta kepada Tuhan, hendaklah kamu percaya dan jangan ragu-ragu. Orang yang ragu-ragu diumpamakan seperti ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin. 7 Orang seperti itu janganlah berharap bahawa dia akan menerima apa-apa daripada Tuhan. 8 Orang seperti itu tiada pendirian dan dia selalu teragak-agak dalam semua perbuatannya. 9 Orang-orang percaya yang hidup sederhana seharusnya merasa gembira ketika Allah meninggikan mereka. 10 Manakala orang-orang percaya yang kaya harus berbahagia kerana Allah memberikannya kesukaran kerana mereka akan lenyap seperti bunga rumput. 11 Sebab, matahari terbit dengan panas terik dan mengeringkan tumbuh-tumbuhan, bunganya gugur dan keindahannya pun lenyap. Demikian juga berlaku kepada orang kaya, di tengah-tengah usahanya ia akan lenyap. 12 Allah memberkati mereka yang sabar menghadapi ujian dan cubaan. Sesudah itu mereka akan menerima mahkota kehidupan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang mengasihi Dia. 13 Ingatlah, apabila kamu dicuba, jangan berkata, “Allah sedang mencubai aku.” Allah tidak dapat dicubai oleh si jahat dan Dia sendiri tidak pernah mencubai sesiapapun. 14 Setiap manusia dicubai di saat dia diseret dan dipikat oleh keinginannya sendiri. 15 Keinginan ini melahirkan perbuatan dosa dan apabila dosa dibiarkan menguasai kita, ia akan mengakibatkan kematian. 16 Oleh itu, janganlah terpedaya saudara-saudariku yang aku kasihi! 17 Apa sahaja yang baik dan sempurna adalah pemberian dari syurga, yang dikaruniakan oleh Allah, Pencipta semua cahaya langit dan bumi . 18 Dia tidak pernah berubah atau seperti bayangan yang muncul dan menghilang di atas bumi. Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar, atas kehendak-Nya sendiri dan oleh itu kita menjadi yang terpenting dari semua ciptaan-Nya. 19 Saudara-saudari yang aku kasihi, fahamilah ini. Hendaklah kamu semua cepat untuk mendengar, lambat untuk bercakap dan lambat untuk marah. 20 Sebab, kemarahan manusia tidak mengerjakan kebenaran Allah. 21 Oleh itu, buanglah segala kekotoran dan kejahatan dalam kehidupan kamu. Terimalah dengan penuh kerendahan hati firman yang telah Allah tanamkan dalam hati kamu, kerana ia mempunyai kuasa untuk menyelamatkan jiwamu. 22 Tetapi jangan hanya mendengar firman Tuhan. Kamu mesti melakukan apa yang dikatakan. Jika tidak, kamu hanya menipu diri sendiri. 23 Sebab jika kamu hanya mendengar firman dan tidak taat, itu seperti kamu memandang wajahmu dalam cermin. 24 Kamu melihat diri kamu dan pergi, lalu lupa bagaimana rupa kamu. 25 Tetapi jika kamu melihat dengan teliti hukum yang sempurna yang memerdekakan kamu dan melakukan apa yang dikatakannya dan tidak melupakan apa yang kamu dengar, maka Tuhan akan memberkati kamu kerana melakukannya. 26 Jika kamu menganggap kamu taat beribadat tetapi tidak mengawal lidahmu, kamu menipu diri sendiri dan ibadat kamu adalah sia-sia. 27 Ibadat yang murni dan sejati di hadapan Allah Bapa kita adalah menolong anak-anak yatim piatu dan balu-balu dalam kesusahan mereka dan menjaga diri supaya tidak dicemari dengan kejahatan dunia ini.